Friday, 10 May 2013

post seorang 'rasis' Melayu

10 Mei, beberapa jam sebelum saya menjadi 28. Dan di sini saya masih mempersoalkan jati diri saya sebagai seorang anak Melayu yang mencintai bangsa sendiri sehingga orang sekeliling memanggil penyakit ini sebagai rasis.

Adakah saya melatah? Tidak. Saya terlalu tua untuk bertikam lidah tentang isu sensitif yang secara tidak sedar dikawal oleh idea-idea luar yang telah menyerap dalam minda saya dan ramai lagi sejak kecil. Kalau saya berumur 17, 18 tahun, mungkin saya unfollow mereka dalam twitter atau meng-unfriend mereka dalam facebook sambil memaki hamun. Namun, api remaja saya sudah pun malap, hahahaa

Tidak mengapa. Saya antara orang yang bertuah dan berani mengaku saya amat menyayangi bangsa saya. Saya antara orang yang mempunyai rakan berbilang bangsa dan masih mengaku Melayu. Saya antara orang yang amat meminati perbezaan budaya dan cara fikir bangsa lain dan masih lagi mahu mengaku saya Melayu.

Saya juga masih meminati rock, punk, lagu-lagu Inggeris dan Jepun dan masih mendengar dendang asli Melayu. Saya juga sedang mempelajari lagu klasikal Bach dan Mozart dengan violin saya dan di masa yang sama belajar inang, zapin dan joget. Malah, saya juga belajar bermain erhu, sebuah alat instrumen muzik Cina yang amat saya gilai sejak kecil lagi. Dan saya masih Melayu.

Menjadi Melayu tidak menghalang saya untuk menghormati antara satu sama lain, malah langsung tidak memberi mudarat kepada hobi dan perbuatan saya sehari-hari. Mungkin untuk anak-anak muda kini, mengaku sebagai Melayu adalah perkara memalukan. Mungkin, sebab sememangnya imej menjadi Melayu ini memang 'semakin melayu'. Semua masalah, mesti berkaitan orang Melayu. Hal birokrasi, hal kronisme, dan hal-hal lain yang lebih besar.

Jadi dengan semua permasalahan ini, mengapa harus saya mengagumi bangsa saya sendiri? Bangsa saya merupakan bangsa malas, semuanya mahu disuap, tak cukup-cukup. Bangsa saya cukup teruk, miskin. Tak layak untuk diangkat martabat bangsa Melayu ni.

Jawapan saya ialah, kalau bukan saya yang mahu mempertahankan bangsa Melayu, siapa lagi mahu? Kalau bukan saya yang mahu membangunkan bangsa sendiri, siapa yang mahu merelakan diri? Kalau bukan kita, siapa lagi yang mahu? Tiada siapa. Justeru, firasat popular Hang Tuah menjadi tidak benar. Sebab, orang Melayu sendiri yang menjatuhkan bangsa mereka.

Post ini sepatutnya post tentang hari lahir saya esok yang kebetulan jatuh pada 1 Rejab kali ini. Tapi, melihatkan rakan-rakan serta adik-adik saya yang semakin menjauhi dan menolak Melayu hanya kerana mahu 'bersatu-padu', saya, sedih.

Seburuk-buruk bangsa saya, saya takkan tolak tepi adat, adab, daulat bangsa saya. Tiada bangsa yang sempurna. Itu realitinya. Jangan hanya kerana mahu menjadi selesa dengan yang lain, kita terus-terusan menolak dan seterusnya mencaci bangsa sendiri.

Kerana tanpa bangsa dan jati diri yang hidup dalam diri kamu yang diwarisi daripada tok nenek moyang kamu, secara automatik kamu tidak ada maruah serta harga diri dan tidak setaraf bangsa lain.

No comments:

Post a Comment